Tuesday, November 24, 2009

perbezaan

Perbezaan PEREMPUAN & MUSLIMAH

Mar 15, '07 6:35 PM

for everyone



Perempuan

Apabila teruna memerhatikan dikau,

Kau membalas renungan matanya

Pabila teruna mendekati selangkah,

Kau datang berpuluh langkah

Pabila teruna memujuk rayu,

Kau lemah dalam pangkuannya

Pabila teruna memberi harapan,

Kau hanyut dalam angan langkah



Muslimah

Pabila teruna memandang dikau,

Kau tunduk mengelak panah syaitan

Pabila teruna mendekati selangkah,

Kau berundur beribu langkah

Pabila teruna memujuk rayu,

Kau anggap itulah kalimah iblis syaitan

Pabila teruna menutur harapan indah,

Kau yakin janji-Nya lebih bahagia di sana

Kerana kau mengerti dan menyedari

Akan erti maruah peribadi sejati

Yang diselaputi iman yang hakiki

Yang tidak semudah itu...

Sekadar renungan bersama..

0 comments share









Wanita Solehah

Mar 8, '07 2:10 PM

for everyone

Wanita Solehah...penghibur hati...

Wanita Solehah...sentiasa tenang jiwanya

Lantaran sentiasa membesarkan ALLAH di dalam solatnya..

Dan sunnah Rasulullah menjadi jalan hidupnya..

Kalamullah adalah surat khabar dan hiburan

Janji2 ALLAH adalah jaminan ketenangan.

Sumber jiwanya beroleh kekuatan..agar sabar merintangi musibah

Istiqamah dalam mujahadah..berteguh menjunjung hukum-hakam ALLAH

Jiwanya damai tidak mudah bergoncang...ujian hidup baginya fitrah

Sebagai mehnah,didikan terus dari ALLAH...salah satu antara dua;

Tanda kasih sayang ALLAH atau penghapusan dosa...yang mengikat iman...



Berwaspada dengan firman ALLAH ;



..."Barangsiapa yg tidak rela terhadap takdirKu,tidak sabar terhadap cubaanKu dan tidak syukur terhadap nikmat pemberianKu,...maka carilah Tuhan selain Aku".



Berkhalwah pasrah dihujung malam...munajatnya adalah bicara cinta...

Rintihan dan pengaduan adalah bait puitis...

Tidak pernah merelakan dirinya hanyut dibuai perasaan

Gelodak rasanya tidak mudah dituruti...

Dia insaf...hiburan yang tidak membimbing jiwa ke arah cinta ketuhanan...

Adalah pembohongan yang sia-sia...ketenangan yang diilhamkan hanyalah sementara

Sentuhan kiranya tidakkan mampu memecahkan masalah...

Gemerlap sinarnya tidakkan menyuluh jalan keluar

Bahkan jiwanya yang sakit akan semakin parah...

Tusukan asyiknya adalah jarum-jarum syaitan

Matahari akan buta, kaburlah hikmah yg tersirat...

Tidakkan nampak jalan akhirat

Inilah yang ditakuti dan diawasinya...

Maka kepada ALLAH lah dipanjatkan segala pengaduan

Dan Dia-lah sebaik-baik tempat pergantungan...



Seperti yang dinukilkan dalam firman ALLAH;



" Apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan; Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepadaNya lah kami kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yg sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk"

(Al-Baqarah : 156-157)



Inilah wanita solehah...yang tidak akan membiarkan dirinya...

Menjadi busar panahan syaitan...diperalatkan untuk mengumpan kaum Adam

Memandangnya menyejukkan mata...dirinya yang tenteram memberikan hiburan

Kiranya dia seorang isteri...keperibadiannya akan menghiburkan suami



Seperti yang diungkapkan oleh pujangga sufi...



"Rumahtangga menjadi gelanggang dan kebanggaan..anak-anak menjadi murid...dailah mursyidahnya...harta suami dijaga dengan sempurna..dilepaskan suami berjuang dengan rela dan bangga...di rumah dan di luar maruahnya sentiasa dijaga..sentiasa menguntum senyuman di hadapan suami..sanggup hidup berdua mati bersama..lantaran mengharap keredhaan ALLAH semata-mata"



Memadai dengan apa yang ada...

Tidak pernah menuntut apa yangtiada

Menjadi tulang belakang perjuangan suami...hingga suaminya terasa rumah itu syurga

Menjadi sumber kekuatan jiwa dalam menegakkan jihadnya...

Natijahnya..

Lahirlah jiwa sakinnah mutmainnah...dan mendapat alu-aluan ALLAH



"Kembali kepada Tuhanmu dengan hati yang puas...lagi diredhaiNya"



(Surah Al-Fajr ; ayat 27)

0 comments share









Cintakan Allah SWT

Mar 8, '07 1:10 PM

for everyone



Firman Allah SWT;





"Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar-benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad), taatlah kamu kepada Allah dan rasulNya, oleh itu jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang kafir".



( Surah Ali Imran; ayat 31 & 32 )





Kita disuruh untuk membaca Al-Quran itu dengan sebenar-benar bacaan, dengan maksud menjuruskan fikiran kepadanya. Dengan demikian kelak terasa hubungan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Justeru, apakah kesan yang terasa dalam hati orang yang beriman tatkala bacaannya tiba ke ayat ini? Iaitu cinta, kasih sayang Tuhan kepada hambaNya. Maka dengan sendirinya, dalam perasaan si hamba terbitlah keinginan untuk membalas cinta itu. Dalam suasana rasa yang sedemikian, datanglah ayat 31; surah Ali Imran ini. Maka perasaan yang tadinya samar-samar, laksana mencari-cari antara hamba dan Tuhannya, sekarang rahsia itu telah terbuka.





Tetapi cinta dalam ucapan sahaja tidak cukup. Menyatakan cinta, padahal kehendak hati yang dicinta tidak diikuti adalah cinta palsu. Allah tidak menyukai kepalsuan. Oleh sebab itu, datanglah ayat 32; Surah Ali Imran. Taatlah kamu kepada Allah dan ikuti jejak rasulNya, nescaya kamu akan yakin bahawa bimbinganNya tidak akan membawamu pada kecelakaan. Apabila kamu telah cinta kepada sesuatu, tentulah keinginannya adalah keinginanmu. Apatah lagi cinta kepada Allah.





Maka ada orang-orang yang tercampak, terkeluar dari golongan pencinta Allah. Ada yang mengaku cintakan Allah tetapi bukan bimbingan Rasulullah yang hendak diikutinya. maka dia pun tersingkir ke tepi. Dia maghdhuub, dimurkai Tuhan. Ada yang cuba-cuba membuat rencana sendiri, memandai-mandai. Maka dia pun terlempar keluar. Dia dhalliin, orang yang tersesat.





Ada yang tidak sabar, lantas tercicir di tengah jalan. Ada yang terpesona dengan beberapa hal yang disangka indah sehingga dia lupa bahawa yang akan dituju ialah yang sebenar-benar indah. Sebab itulah maka cinta yang sejati ialah penyerahan diri bulat-bulat, bukan sayang yang berbelah bagi dan mesti sabar menerima apa-apa yang ditimpakan kekasih. Sehingga ada orang yang berkata kepada kekasihnya, "Walaupun ke lautan api sanggup kanda redah bersama, dinda rela". Ucapan yang sedemikian hanya layak diucapkan kepada Allah dan Allah tidak akan membawa kecintaanNya ke lautan api, bahkan ke syurga.





Firman Allah SWT dalam Surah Al- Baqarah ayat 221;





"...mereka (orang-orang kafir) itu mengajak kamu ke neraka, sedang Allah mengajak kamu ke syurga dan maghfirah dengan izinNya..."





Jelas kepada kita bahawa kedua-dua ayat ini berhubung rapat antara satu sama lain. Datang ayat yang pertama mengatakan bahawa cinta sejati hanya kepada Allah dengan mengikuti Rasulullah. Sesudah itu datang ayat yang lebih tegas menyuruh supaya taat kepada Allah dan RasulNya. Maka kalau kita renungkan pertalian kedua-dua ayat ini, nampaklah bahawa orang-orang yang imannya sudah sangat mendalam dan cintanya sudah tidak berbelah bagi, biar mati, mereka tidak akan dipesongkan dari cinta yang utama, iaitu Allah SWT.

0 comments share









Beberapa suap makanan

Mar 8, '07 2:07 AM

for everyone

Maksud hadis;



"Daripada Al-Miqdam bin Ma'dikarib ia berkata aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : tidak mengisi perut anak Adam akan bahaya bencana sekira-kira memadai dengan beberapa suap yang kecil yang boleh mendirikan tulang salibnya, maka jika terpaksa maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya".



(Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Nisa'i dan Ibn majah-Hadis Hasan)



Mengisi perut bererti makan minum daripada berbagai-bagai benda mengikut tempoh suasana dan kebiasaan masing-masing dan makanan yang boleh menguatkan badan, seperti mana di dalam hadis (mendirikan tulang salibnya) iaitu boleh berdiri bertenaga, berjalan, bergerak dan sebagainya.



Beberapa suapan yang kecil bererti makan tidak banyak yang tidak mengakibatkan seseorang itu keterlaluan mengisi perut tanpa perhitungan yang wajar dan sesuai dengan kehendak kesihatan. Demikian pula makan yang sedikit yang tidak membawa kepada kelemahan tubuh badan.



Makanan yang beberapa suap yang sedikit yang tidak mengurangkan tenaga itu tidaklah mendatangkan bahaya kepada perut dan seluruhnya kerana bahaya yang selalu merosakkan kesihatan badan ialah dari keterlaluan banyak makan sebagaimana yang ternyata jelas pada hari ini didapati beberapa penyakit yang berlaku yang dinamakan "penyakit orang kaya", "penyakit orang senang", "sedap makan sedap selera", "makanan semua berzat". Maka timbullah penyakit gemuk ataupun obesiti yang mengakibatkan berbagai-bagai penyakit yang lain.



Oleh sebab tabiat hidup kita yang mesti makan, Rasulullah mengingatkan supaya jangan lupa mengisi perut dengan baik iaitu sepertiga perut itu diisi dengan makanan, sepertiga dengan air dan sepertiga lagi dikosongkan untuk bernafas tetapi seringkali kita tidak ikut apa yang Rasulullah sarankan. Oleh sebab itu, kita pun mengisi kesemuanya dengan makanan. Itulah menyebabkan sampai tidak boleh bernafas dan mendatangkan sakit.



Tepat seperti kata seorang Doktor Arab, Al-Haris bin Kalwah;



"Penting berjaga-jaga itu kepala ubat, perut besar makan banyak itu kepala penyakit".



Dalam hal menjaga kesederhanaan makanan, Rasulullah banyak mengingatkan sahabat-sahabatnya sampai berjaga-jaga seperti di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Junjungan telah bersabda yang bermaksud;



"Orang mukmin makan satu perut, orang kafir makan tujuh perut, yang bermaksud orang-orang mukmin makan mengikut adab syarak ialah sepinggan yang sederhana tidak seperti orang kafir makan sampai tujuh pinggan mengikut kehendak nafsu selera".



Junjungan mulia mengarahkan supaya orang-orang mukmin sentiasa berada dalam sihat dan cergas. Maka di antara faktor besar mencapai tujuan itu hendaklah menjaga makanan dan hendaklah selalu mengawal diri dan kehendak nafsu perut yang melampau-lampau. Baginda mengingatkan supaya selalulah mengingatkan diri bahawa makanan yang disediakan untuk seorang itu adalah mencukupi untuk dua seperti sabdanya yang membawa maksud;



"Makanan seorang cukup untuk dua, dua cukup untuk tiga dan tiga cukup untuk makan berempat".



Ingatan ini adalah bertujuan kepada kesederhanaan dan menjauhkan diri daripada penyakit perut besar. Ia adalah juga supaya dapat menimbulkan jiwa mulia, pemurah dengan menjauhkan sifat tamak dan mementingkan diri sendiri serta melatih diri supaya berjimat dan tidak membazir.



Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya telahmengamalkan sedikit makan dan minum setakat cukup yang tidak melemahkan untuk menunaikan tugas dan kewajipan. Dalam hal ini memang banyak para cendiakawan dan pakar-pakar kesihatan bersetuju dan diantaranya telah membuat beberapa nasihat seperti;



"Faedah makan sedikit kepada hati ialah membawa kepada perasaan halus, kuat fahaman dan lemah nafsu serta kurang marah, banyak makan membawa kepada sebaliknya".



Kesimpulannya, kita wajib memelihara kesihatan badan dan hati supaya dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna. Perut ialah punca kesihatan dan kesakitan.Sesiapa yang mengawasi dengan baik dan tidak diisi mengikut nafsunya akan terselamatlah daripada penyakit manakala sebaliknya diisi tanpa perhitungan maka jadilah perut sumber penyakit yang menyebabkan sakit tubuh badan dan rosak hati dan perasaan. Makan banyak bukan sahaja menyebabkan pelbagai penyakit fizikal malah juga rohani. Makin banyak kita makan, makin malas kita hendak beribadat kepada Allah.



Oleh itu, orang-orang Islam hendaklah sentiasa berjaga-jaga dengan makanan mereka. Memadailah makan sekadar yang cukup yang boleh menguatkan tenaga bekerja dan tidak melemahkan badan. Jangan melampau sehingga menyebabkan kesusahan kepada tubuh badan. Makanlah dengan sederhana kerana Allah suka manusia yang bersikap sederhana.Jangan dituruti kehendak nafsu kerana nafsu yang diikuti itu umpama bertuhankan nafsu.Bak kata orang, perut lapar diisi dengan makanan, jiwa lapar diisi dengan santapan rohani. Sama-samalah kita beramal dengan perkara yang mudah ini sepertimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW kerana setiap perkara yang disarankan oleh Rasulullah itu ada kebaikannya.



Sepotong hadis ada menyebut;



"Tidak sempurna iman seseorang itu jika dia tidur dalam kekenyangan, sedangkan jiran tetangganya menangis kerana kelaparan".



Jadilah umat yang sentiasa besrsyukur dengan setiap rezeki yang dimiliki kerana kita sendiri tidak tahu bila mana Allah akan tarik segala pinjaman yang diberi sepertimana insan-insan yang kebuluran di luar sana..

No comments:

Post a Comment